Sejarah penubuhan PSGFM

Silat Melayu berasal daripada ilmu seni perang Melayu tradisi yang menjadi pakaian pahlawan yang mempertahankan tamadun kerajaan Melayu tradisi di daerah tenggara tanah besar benua Asia. Sebagai ilmu seni perang seperti mana ilmu perang dari sosio budaya lain yang pernah mempunyai pengalaman perang, maka silat mengekalkan kaedah tempur senjata iaitu serang seni seperti tikam, parang dan tetak. Tujuh kaedah sambut seni iaitu sekat, sentak, kedu, tindih, sisip, sagang dan potong. Kaedah sambut dikembangkan dalam beladiri tanpa senjata. 

Kekuatan sejarah silat dapat dikesan pada adat istiadat yang diamalkan adalah berdasarkan budaya Melayu bersendikan syarak. Sejarah budaya Melayu tidak lekang dari pengaruh sosio budaya dan kepercayaan luar. Istimewanya perguruan Seni Gayung Fatani telah mengheningkan ilmu kebatinan atau ilmu kerohanian silat dengan meletakkan Islam sebagai kerohaniannya, sesuai dengan kata 'budaya Melayu bersendikan syarak'. 

Orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan seni beladiri atau silat sejak sebelum kehadiran pengaruh luar. Kemudian silat berkembang bersama penghijrahan rumpun bangsa Melayu dati tanah besar benua Asia ke seluruh pelosok alam kepulauan Melayu. Tamadun kerajaan Melayu silih berganti seperti kerajaan Melayu Champa, Kemboja, Kedah Tua, Langkasuka, Beruas, Srivijaya, Melaka, Pattani dan Semenanjung Tanah Melayu, tetapi masyarakatnya adalah dari keturunan Melayu, setiap kerajaan tersebut mempunyai panglima, hulubalang dan orang perang untuk mengukuhkan angkatan perang dan menjamin keselamatan negara. Walaupun penulisan sejarah mengenai silat atau ilmu perang Melayu tradisi belum ditemui secara khusus, namun sejarah jatuh bangun tamadun tidak lekang dari sebab akibat peperangan dan keagungan manusia sebagai pemimpin perang.

Silat Melayu telah berkembang kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan dipimpin oleh guru Silat. Mereka membentuk nama kumpulan atau perguruan mengikut daerah dan masyarakat seperti Silat Melayu Patani, Silat Melayu Asli, Silat Melayu Kedah, Gayungman Kelantan, Gayung Lapan dan sebagainya. Namun Silat Melayu masih terdapat ciri-ciri kesamaan yang menunjukkannya Silat adalah serumpun dan sebenih. Perguruan Gayung Fatani merupakan salah satu kumpulan aliran Silat Melayu yang diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Pulut.  

Perguruan Gayung Fatani diasaskan oleh Tuan Syeikh Abd. Rahman Tahir kira-kira tahun 1890. Beliau membuka gelanggang silat sambil mengajar ilmu agama. Antara pendekar terkenal yang pernah belajar dengannya ialah Tuan Haji Ramli Abd. Rahman, Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali, Imam Mansor dan Pan Dak Embong. Allahyarham Pendita Tuan Haji Anuar Bin Abd. Wahab AMN telah mengambil inisiatif untuk mendirikan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM). Beliau bersama guru-guru tua dan beberapa orang ahli yang lain telah mendaftarkan Pertubuhan ini pada 14 September 1976. Sehingga kini, PSGFM masih didokong oleh Guru-guru, Ahli-ahli Jawatankuasa serta ahli-ahli lain yang setia dengan keilmuan dan kesatuan yabg berkesinambungan sejak penubuhannya. PSGFM adalah salah sebuah badan pendiri (pengasas) Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang bernaung di bawah Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT).