Kaedah Pengajaran Gayung Fatani di bawah PSGFM

Terdapat dua kaedah pengajaran yang diiktiraf di dalam PSGFM iaitu:

(A) Pengajaran secara Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai (kaedah utama); dan
(B) Pengajaran secara Tradisi.

Semua Jurulatih PSGFM DIWAJIBKAN mengajar menggunakan Kurikulum Piawai PSGFM bagi semua gelanggang di Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi, manakala bagi gelanggang di kampung-kampung, kawasan perumahan dan seumpamanya diberikan kelonggaran untuk menggunakan dan meneruskan kaedah Tradisi, dengan syarat ilmunya bersumber daripada Jurai keilmuan yang diiktiraf oleh PSGFM.

Setiap gelanggang PSGFM diwajibkan mendapat pengiktirafan gelanggang melalui Sijil Pengiktirafan Gelanggang, dan setiap Jurulatih (Kurikulum Piawai atau Tradisi) diwajibkan mendapat tauliah melalui Sijil Tauliah Jurulatih. Kedua-duanya adalah dikeluarkan oleh PSGFM Pusat.



KURIKULUM SILAT PSGFM MODEN PIAWAI

Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai (atau lebih dikenali sebagai 'silibus') terdiri daripada tajuk-tajuk pada tujuh peringkat iaitu:

 
 1. Bunga Silat;
2. Jurus Silat;
3. Belebat Silat;
4. Tapak Silat;
5. Buah Pukul Silat;
6. Tempur Seni; dan
 7. Tempur Beladiri. 


Namun kandungan pelajaran pada setiap tajuk adalah berasaskan pada kandungan pelajaran silat Melayu tradisi, menjadikan kurikulum silat ini bebas daripada gabungan, paduan atau campuran daripada mana-mana aliran silat, pencak silat, seni beladiri atau seni mempertahankan diri daripada luar. Terdapat tujuh peringkat di dalam Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai iaitu:

 
 1. Peringkat Dasar: Satu - Bengkung Putih (Anak Gelanggang)
2. Peringkat Dasar: Dua - Bengkung Biru (Pesilat Remaja)
3. Peringkat Menengah: Tiga - Bengkung Perang (Pesilat Perkasa)
4. Peringkat Menengah: Empat - Bengkung Kuning (Pesilat Muda)
5. Peringkat Menengah: Lima - Bengkung Hijau (Pesilat)
6. Peringkat Tinggi: Enam - Bengkung Merah (Pendekar Muda)
7. Peringkat Tinggi: Tujuh - Bengkung Hitam (Pendekar).





PENGAJARAN SECARA TRADISI

PSGFM telah membangunkan kurikulum silat tradisi gelanggang bangsal dengan mewujudkan empat tajuk pada lima peringkat iaitu Bunga Sembah, Jurus Silat, Buah Pukul Silat dan Tempur Silat yang dinamakan Kurikulum Baru PSGFM (1986-2006). 

Walau bagaimanapun, kaedah pengajaran Seni Gayung Fatani secara Tradisi selain yang disebutkan, yang telah diamalkan oleh gelanggang-gelanggang di kampung-kampung sejak dahulu sehingga kini adalah juga diiktiraf oleh PSGFM melalui Dewan Perguruan PSGFM. Pengiktirafan gelanggang-gelanggang Tradisi seperti ini dibuat melalui Sijil Pengiktirafan Gelanggang yang dikeluarkan oleh PSGFM.